Dalam ramai-ramai mangsa
jemaah haji yang menjadi korban kren di Tanah Suci, kisah wanita ini yang
paling mengusik jiwa saya, dan mungkin anda juga.
Betapa beliau adalah insan
yang terpilih di antara yang terpilih. Dipilih menjadi tetamu Allah untuk
menunaikan haji pada usia 37 tahun, yg bagi saya sangat istimewa sebab tak
ramai yg tunaikan haji pada usia 30-an. Kebiasaannya lewat usia memasuki angka
emas. Kemudian, beliau terpilih untuk bertemu Tuhan di tempat suci, tempat yg
baik dan dalam ibadat yang sangat besar ganjaran pahalanya. Bukan hanya saat
beliau masih bernyawa, malah saat beliau mengakhiri nafasnya juga.
Walaupun meninggal dalam
keadaan yang tidak dijangka, dalam keadaan yg mengerikan penuh berlumuran darah
dan mayat bergelimpangan, beliau terpilih kerana jasadnya adalah jasad yang
paling sempurna. Sempurna, bersih dan indah seperti saat hayatnya di dunia.
Dan, jenazahnya dimakamkan di perkuburan kekal Ma'la yang mana tidak semua
jemaah yang meninggal di Tanah Suci akan dikuburkan di sana. Perkuburan itu
hanyalah untuk para syuhada' sahaja! MasyaAllah indahnya wanita ini dijemput
Tuhan..
Lihatlah senyumannya saat
ingin berlepas ke Tanah Suci. Riang gembira. Seingat saya, antara pengalaman
saya menghantar sanak saudara ke dewan pelepasan, suasana yg sering saya lihat
penuh dengan linangan air mata dan pelukan erat ahli keluarga. Tapi wanita ini,
bahkan ahli keluarganya, tersenyum indah seolah-olah mengerti bahawa wanita
kesayangan mereka ini bakal dihantar ke syurga. Wajah wanita ini bersih
memancar seri, mungkin tidak sabar bertemu bidadari di sana. Allahu Allah.
Dan saya tidak pernah
mengenali wanita ini. Hanya 2 persamaan antara kami berdua: kami rakyat
Kelantan dan bergelar seorang guru. Di saat saya mengeluh tentang kerjaya
seorang guru dan mengomel tentang anak murid pelbagai ragam, hari ini saya
terbayangkan wanita ini saat dia di sekolahnya. Pasti beliau seorang pendidik
penyanyang, sabar dan mendidik dengan penuh hikmah. Pasti beliau sentiasa
tenang dan tersenyum di sebalik segala ujian. Pasti seluruh rakan sejawat dan
anak didik menyenanginya. Dan saya, jauh sekali sepertinya. Allah..
Tadi terbaca nukilan dari adik
wanita ini yang menceritakan perihal beliau yang tak pernah meninggalkan solat
sunat dhuha dan qiamullail setiap hari. Bagaimana beliau seorang yang
berkerjaya mampu mencuri masa untuk menghadap Tuhan di saat guru-guru lain
terkejar-kejar ke kelas atau mungkin sedang santai lepak di bilik guru. Dan
saya di sini, seringkali punya banyak alasan untuk 2 rakaat dhuha. Sibuk, takde
masa, malas nak berwuduk, malas nak mekap banyak kali dan seribu macam alasan
lagi. Itu belum masuk soal qiamullail lagi. Astaghfirullah..
Dengar kisah wanita ini,
mengingatkan saya pada allahyarham Ammar yang syahid di Turki dan juga salah
seorang krew pesawat MH17. Keduanya juga terlibat dalam kemalangan yang tidak
ingin kita lihat, namun jasad mereka sempurna tanpa cela. Dan kepulangan mereka
juga diiringi jutaan doa dari seluruh rakyat dunia, walhal ketika hayat mereka,
tidak ramai yang mengenali.
Cikgu, semoga kematian cikgu
dapat menghidupkan jiwa-jiwa yang telah 'mati'.
Saya cemburu dengan Cikgu.
Semoga Cikgu damai di sana
bersama para bidadari jelita di taman syurga.
"Maka segeralah kembali
kepada mentaati Allah. Sungguh, aku seorang pemberi peringatan yang jelas dari
Allah untukmu." [Az-Zariyat:50]
Alfatihah untuk Allahyarhamah
Cikgu Siti Nuroshlizan Zulkifli.
-insan hina-
Nur Fadhliah
Categories:
Fadhlia Nuur,
Nukilan